fb fb fb fb fb

Keindahan masjid perlu disertai pengimarahan, ketakwaan - PM

FOTO FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 8 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid MADANI Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah.

Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, di sebalik kebanggaan dan keindahan sesebuah masjid, ia perlu dimanfaatkan dan dimuliakan dengan mengimarahkan rumah ibadat itu, di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Saya bersyukur atas ikhtiar membangunkan sebuah masjid seperti ini yang telah lama saya fikirkan semenjak terkurung di ‘Istana Hinggap’ satu ketika dulu.

"Impian melihat sebuah masjid yang indah tetapi berfungsi dan dibangunkan atas asas takwa di Permatang Pauh.

"Semoga usaha ini mendapat barakah Allah SWT dan dampak positif kepada ahli kariah dan berterusan menjadi amal jariah kepada semua pihak yang terlibat dalam membangunkan Masjid MADANI Permatang Pauh," katanya.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Terma Utama Kerjasama Pembangunan Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM