BANGI, 15 November- Persediaan sesebuah organisasi media untuk mempersiapkan wartawan dan jurukamera amat penting sebelum membuat liputan konflik.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata bukan sahaja untuk konflik peperangan, tetapi juga bencana alam, persediaan seperti insuran, ketahanan fizikal dan mental perlu supaya laporan yang dibawa lebih profesional dan dipercayai.
"Kita di RTM sentiasa adakan kursus, maksudnya kalau kita mahu menghantar kru ke 'red zone' contohnya, kita akan ada kursus bagaimana persediaan daripada segi mental, fizikal, bagaimana membaca petunjuk yang ada di sekeliling kita. Jadi itu tlatihan yang harus kita buat secara berterusan,"katanya.
Tambahnya, berbekalkan fakta dan data terkini, wartawan di lokasi dapat membuat laporan yang lebih lengkap.
Ini kerana laporan yang disokong data akan lebih dipercayai, berbanding apa yang dicakap secara lisan sahaja.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi pleno "Chaos and Credibility: Media's Role in Conflict Reporting in a VUCA World" MENTION 2023.