fb fb fb fb fb

Hospital UCSI, ubah landskap penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (dua, kiri) berkenan mendengar penerangan dari Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI Tan Sri Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika melawat fasiliti Hospital UCSI / Foto Bernama

PORT DICKSON, 15 November - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah Hospital UCSI berpotensi mengubah landskap penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan menerusi penyediaan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi.

Baginda bertitah penduduk di Negeri Sembilan terutamanya di sekitar daerah Port Dickson mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta rawatan perubatan dengan penyediaan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi di samping mempunyai pakar dan doktor yang mencukupi. 

"Hospital UCSI adalah sebahagian daripada projek UCSI Health Metropolis, iaitu sebuah projek mega yang dirancang untuk menjadikan Bandar Springhill sebagai hab pelancongan kesihatan dan pendidikan.

"Projek ini akan mempunyai pelbagai kemudahan penginapan, pusat konvensyen, kompleks membeli-belah, kemudahan sukan, makmal penyelidikan dan lain-lain lagi. Pelaburan di Bandar Springhill ini akan menjadikan UCSI sebagai salah satu pelabur terbesar di negeri ini," titah baginda pada majlis perasmian Hospital UCSI, di sini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda berdua, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz merangkap Penasihat Kumpulan UCSI dan Pro-Canselor Universiti UCSI.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN