fb fb fb fb fb

Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Ramesh Chander meninggal dunia

Mendiang Datuk Ramesh Chander

KUALA LUMPUR, 15 November- Bekas Ketua Perangkawan negara, Datuk Ramesh Chander meninggal dunia pada pukul 2.50 pagi semalam (14 Novermber).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita dengan kematian mendiang.

Katanya, mendiang yang kini berusia 88 tahun merupakan rakyat Malaysia pertama menyandang gelaran Ketua Perangkawan Malaysia selepas kemerdekaan, bermula 1 Januari 1966 sehingga 31 Disember 1977.

Dr Mohd Uzir berkata, sepanjang 11 tahun menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mendiang telah berjaya membangunkan sistem perangkaan yang masih digunakan sehingga kini.

Katanya, sehingga akhir usia, mendiang masih aktif memperjuangkan statistik dalam komuniti pencinta statistik dengan menghadiri forum, seminar dan sesi dialog antaranya 'Webinar :Counting Everyone For A Better Tomorrow' pada 7 Julai 2020 dan Seminar Statistik Kependudukan pada 14 Februari 2022.

Dr Mohd Uzir berkata, antara jasa mendiang ialah mempelopori penggunaan tinjauan isi rumah bersepadu untuk pengumpulan maklumat bagi menganalisis kemiskinan dan penyusunan petunjuk sosio-ekonomi.

Di samping itu, katanya mendiang juga ialah Pesuruhjaya Banci pertama dan telah melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan selepas merdeka pada tahun 1970.

Mendiang turut terbabit dalam membangunkan rangka kerja untuk pemantauan sasaran dan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau bekata, DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti mendiang terutamanya dalam memperkukuhkan sistem statistik, seterusnya membantu negara menyediakan dasar dan perancangan sosio ekonomi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE