fb fb fb fb fb

Persetujuan industri turunkan harga minyak masak terima reaksi positif

JOHOR BAHRU, 15 Julai- Persetujuan pihak industri minyak masak sawit menurunkan harga minyak masak secara berperingkat menerima reaksi positif Keluarga Malaysia terutama peniaga, pengguna dan peruncit.

Pengurus besar pasar raya, di sini, Mas Imran Adam berkata penurunan harga minyak masak tersebut secara tidak langsung meningkatkan semula penjualan minyak masak botol.

Jelasnya, penjualan minyak masak botol menyusut 20% sejak subsidi minyak masak dimansuhkan kerana pengguna memilih membeli minyak masak paket.

"Memang bertepatan dengan keadaan semasa sekarang ini, banyak harga barang di seluruh dunia pun meningkat, jadi memang sangat bertepatanlah harga minyak ini diturunkan untuk kebaikan pengguna," kata Mas Imran.

(Antara jenama minyak masak botol dijual di pasaran)

"Saya rasa bersyukurlah sebab kita harapkan minyak ini biarlah murah sikit, saya pun berniaga, saya memang rasa harga naik itu, kita nak modal lebihlah kan," kata peniaga makanan, Norsiah Shuib.

"Kita memang setujulah kerajaan turunkan harga sebab memang agak terkesan. Kedua, minyak paket banyak pulak tiada, lagi kita rakyat yang banyak menggunakan macam untuk masak, menggoreng, memang terkesan.

"Memang buat masa ini memang kurang beli minyak botol tapi kalau dah tiada, terpaksa juga beli," menurut pengguna, Mohamad Nor Abidin.

Pengguna juga berpendapat, persetujuan menurunkan harga minyak masak dapat mengurangkan harga makanan yang meningkat ketika ini, sekali gus mengurangkan beban pengguna.

Media Baharu