fb fb fb fb fb

Persediaan hadapi fenomena El Nino akan dibincang pada mesyuarat 22 Feb

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Persediaan bagi mendepani fenomena El Nino akan dibincang menerusi mesyuarat yang akan diadakan pada 22 Februari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat itu akan melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi mencari keadah terbaik meminimumkan impak fenomena tersebut.

"Bila El Nino, lebih kering dan panas. Kebetulan tahun lepas juga sudah mula El Nino dan tahun lepas merupakan tahun terpanas ada rekod dalam sejarah dunia.

"Jadi kita adakan satu mesyuarat yang biasa kita adakan iaitu tentang cuaca panas dan kering yang mana kita akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, sebab ia akan ada impak yang besar terhadap pelbagai aktiviti. Jadi, kita akan pastikan ada persediaan terbaik untuk tahun ini", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Pasca Persidangan ke-28 Pelbagai Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC-COP28) dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim di ibu negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Fenomena El Nino yang bermula sejak pertengahan tahun lalu dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

ROSLINA BINTI DIN