KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Seorang pemandu lori maut dan tiga lagi cedera selepas kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 335.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Kerteh menghala sini, Terengganu, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 5.46 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka dibantu anggota BBP Kerteh bersama jentera digerakkan ke lokasi nahas.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Ilyas Ramli, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dan sebuah kereta.
Mangsa maut melibatkan seorang lelaki yang tersepit dan dikeluarkan oleh bomba, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara penumpang lori terbabit iaitu seorang wanita serta dua individu membabitkan pemandu dan penumpang sebuah lagi kenderaan mengalami kecederaan.
Ketiga-tiga mereka dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke hospital dengan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).