fb fb fb fb fb

Hampir separuh penjawat awam daftar PADU

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin

BESUT, 8 Februari - Sebanyak 40 peratus daripada 1.5 juta penjawat awam seluruh negara selesai mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang melibatkan 600,000 orang.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz meminta penjawat awam berbuat demikian selewat-lewatnya 15 Februari ini.

Melalui maklum balas yang diterima melalui 50,000 program turun padang di seluruh negara terdapat sedikit kekangan bagi penjawat awam yang bekerja di sektor kesihatan.

Namun dengan bantuan lebih 2,700 petugas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) beliau yakin proses pendaftaran akan selesai sebelum tarikh akhir ditetapkan.

Ketika ini Terengganu merekodkan jumlah penjawat awam tertinggi yang mendaftar Iaitu 41 peratus daripada lapan ribu penjawat awam negeri.

"Apa yang kami lakukan kami menggerakkan skuad khas pergi ke tempat di premis kesihatan misalnya premis kesihatan membantu jururawat membuat pengisian.

"Ini antara perkara dilakukan (DOSM) bersama-sama agensi lain dengan Jabatan Belia dan Sukan, KEMAS dan agensi bawah Kementerian Luar Bandar, usaha kita untuk memastikan menyelesaikan pengisian PADU dapat berjalan dengan teratur dan tidak menunggu di saat akhir kita buat dengan sebaik mungkin lah," kata Mohd Uzir kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu di mana Besut menjadi lokasi pertama sebelum ke Daerah Setiu dan berakhir di Kuala Nerus.

Balairaya Kampung Jawek Besut menjadi lokasi pertama kunjungan beliau bersama-sama Pengarah DOSM Terengganu, Malini Sahul Hamid.

Lebih 200 penduduk dari 15 kampung sekitar termasuk Bukit Kenak, Darang Buaya, Nyior Tujuh, Pok Wong, Kampung Gerai dan Alur Saji hadir mendaftar.

TETITIA YUSOFF