fb fb fb fb fb

Pembesaran LTSAS, belum dimuktamadkan - Anthony

Foto BERNAMA

IPOH, 8 Februari- Cadangan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) belum dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ketika ini usaha dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi menaik taraf lapangan itu adalah dengan mengoptimumkan ruang sedia ada.

Penambahbaikan itu membabitkan kos sebanyak RM8 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh MAHB.

"Mereka akan mengoptimumkan penggunaan ruang sepenuhnya. Pelan itu akan bermula dalam tahun ini. Langkah itu adalah untuk mempercepatkan pergerakan penumpang dan menambah kaunter imigresen serta kaunter daftar masuk."

"Maka ruang itu akan digunakan sepenuhnya selain akan memberi keselesaan kepada penumpang. Ia akan dilakukan segera tahun ini dan proses tender juga telah berlaku," kata Anthony kepad pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) KTMB dan Edaran Cenderahati Tahun Baru Cina kepada penumpang di Stesen Kereta Api Ipoh.

Mengenai sistem tersebut, beliau berharap penggunaannya dapat diperluaskan kepada operator pengangkutan awam lain.

Selain Komuter KTMB, Prasarana juga sedang dalam proses melaksanakan sistem sama.

Inisiatif SPT membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan KTMB tanpa tiket khususnya perkhidmatan KTM Komuter dengan hanya menyentuh kad debit atau kad kredit di pintu kawalan automatik.

Jumlah transaksi yang menggunakan SPT mencatatkan peningkatan sebanyak 597% iaitu sebanyak 8,613 pada bulan November 2023 kepada 60,040 transaksi pada bulan Januari 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM