fb fb fb fb fb

Energy stick: Orang ramai diminta salur aduan jika pelajar sekolah terlibat

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

 JOHOR BAHRU, 8 Februari- Orang ramai diminta menyalurkan aduan mengenai penggunaan atau pengambilan produk penyedut hidung (energy stick) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah menerusi talian Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata setiap aduan yang diterima akan dipantau dan dibincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet agar langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan bagi mengelakkan penggunaan produk berkenaan daripada berleluasa.

"Setakat ini, tiada laporan diterima KPM, berhubung sebarang aduan mengenai penggunaan 'energy stick' dalam kalangan murid sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah di Malaysia. 

"Buat masa ini KPM masih belum menerima apa-apa aduan lagi tetapi sekiranya kita menerima aduan kita akan mengambil tindakan yang tegas dan untuk memastikan bahawa kebajikan dan kesihatan atau kebajikan dan kesihatan anak-anak kita terjamin", katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di  Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Belia turut mengalukan sebarang tindakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap penjual 'energy stick' dan menyeru ibu bapa untuk memantau anak-anak sama ada di luar mahupun di rumah.

Dalam majlis itu, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM78,501,300 sebagai Bantuan Awal Persekolahan kepada 523,342 murid dan pelajar di 1,192 buah sekolah seluruh Johor. 

ROSLINA BINTI DIN