
KUALA LUMPUR, 17 November – Kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut, tekanan kos sara hidup serta keselamatan pengguna dalam persekitaran digital antara isu yang dijangka mencuri perhatian persidangan Dewan Rakyat hari ini.
- Kesiapsiagaan menghadapi banjir: bekalan makanan, ketidakseragaman kualiti bantuan dan keletihan petugas di Pusat Pemindahan Sementara.
- Tekanan kos sara hidup: cadangan meluaskan barangan SARA, peningkatan bil elektrik dan kesan subsidi bahan api terhadap kos pengangkutan.
- Keselamatan digital dan telekomunikasi: ancaman deepfake, penyalahgunaan identiti serta kecurian kabel dan sindiket penyamaran teknikal.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah tahap persiapan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut, khususnya bagi memastikan masalah kekurangan bekalan makanan, ketidakseragaman kualiti barangan bantuan serta keletihan petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak berulang ketika banjir.
Isu itu akan dikemukakan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dalam sesi sama, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan sama ada kementerian bercadang memberi keutamaan segera untuk menaik taraf Jalan Utama Palong (FT44) dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 9.0, memandangkan laluan yang sering meragut nyawa itu merupakan sambungan kepada jajaran yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Datuk Siti Aminah Aching (GRS-Beaufort) pula meminta Perdana Menteri menyatakan status pelaksanaan Borneonisasi di Sabah dan Sarawak.
Perkara itu dibangkitkan dengan tumpuan kepada peratusan pengisian jawatan profesional dan pengurusan oleh anak tempatan, ketelusan penempatan serta peluang kenaikan pangkat penjawat awam.
Sementara itu, sesi pertanyaan lisan dijangka menyentuh beberapa isu, antaranya yang bakal dibangkitkan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), termasuk cadangan memperluas kategori barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain faktor peningkatan bil elektrik dan kesan subsidi bahan api bersasar terhadap kos pengangkutan serta harga barangan.
Dalam aspek keselamatan digital, strategi kerajaan menangani penyebaran kandungan deepfake dan berita sintetik berasaskan kecerdasan buatan turut menjadi perhatian, khususnya penyalahgunaan teknologi itu untuk menyamar sebagai pemimpin, institusi atau individu bagi tujuan penipuan dan manipulasi maklumat.
Isu keselamatan infrastruktur telekomunikasi juga dibangkitkan susulan kegiatan mencuri kabel yang membabitkan penyamaran sebagai petugas penyelenggaraan, termasuk langkah membanteras sindiket terancang.
Selain itu, beberapa persoalan berkaitan pendidikan dan kebajikan turut disenaraikan, antaranya keadaan sekolah daif, keselamatan kanak-kanak di taska, tekanan emosi serta kesihatan mental pelajar dan kemerosotan enrolmen murid dalam aliran sains tulen.
Dewan turut dijangka meneliti kedudukan kewangan negara, termasuk trajektori hutang dan defisit kerajaan, bayaran khidmat hutang serta sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada tidak melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka sederhana.
Persidangan hari ini turut diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat Jawatankuasa serta Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 yang memperuntukkan jumlah tidak melebihi RM85 bilion.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.