fb fb fb fb fb

Persaingan dan kapasiti kampus, faktor permohonan UPU pelajar ditolak

PUTRAJAYA, 29 September- Persaingan sengit dan kapasiti kampus yang terhad antara punca permohonan ke universiti awam ditolak.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Husaini Omar berkata daripada 115,477 permohonan, hanya 71,615 calon mendapat penempatan di 20 universiti awam malah terdapat pelajar juga yang tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan, gagal dalam sesi temu duga bagi kursus selain kedudukan merit rendah.

Namun katanya, pelajar masih berpeluang membuat rayuan permohonan sehingga 4 Oktober bagi menempatkan diri ke universiti pilihan.

"Kalau rayuan melalui UPU gagal juga, pelajar boleh ke universiti untuk membuat permohonan secara terus. Ada 12 universiti tempatan yang membenarkan prosedur ini.

Universiti tersebut akan melihat kepada kekosongan sedia ada sekiranya ada penolakan tawaran pelajar lain. Sebagai contoh, ada pelajar yang menyambung pembelajaran ke luar negara dan sebagainya," kata Prof. Dr. Husaini Omar dalam satu sidang media khas di Putrajaya, hari ini.


(Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Husaini Omar berkata demikian dalam satu sidang media)

Tambahnya, program kompetitif yang menerima banyak permohonan juga antara punca kesukaran mendapatkan tempat di universiti.

Antaranya melibatkan jurusan Perubatan, Pergigian, Perakaunan, Undang-undang dan Kejuruteraan Mekanikal.

Media Baharu