fb fb fb fb fb

“Perpaduan Teras Malaysia Madani” tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini

KUALA LUMPUR, 17 Julai- Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445 H akan berlangsung Rabu ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani” yang dipilih menjadi manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, melalui satu kenyataan berkata, perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat Madani yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian.


(Ketua Pengarah JAKIM, Datuk  Hakimah Mohd Yusoff)

Sambutan tahun baharu Islam ini akan dimulakan dengan majlis bacaan doa akhir dan awal tahun di Masjid Negara pada Selasa yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Majlis sambutan juga diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja dan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada majlis tersebut.

Majlis juga akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 6,000 tetamu terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.

Kedua-dua majlis sambutan ini akan disiarkan secara langsung di TV1 dan saluran radio RTM.

Media Baharu