fb fb fb fb fb

Perpaduan kunci masa depan gemilang - YDP Agong

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat meletakkan perpaduan sebagai kunci kepada masa depan yang gemilang.

Baginda bertitah, nilai-nilai murni yang ditunjukkan rakyat adalah asas dan kekuatan negara untuk membentuk sebuah negara yang maju dan disegani.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
bertitah sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang
dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023, di Istana Negara)

"Disebalik kesibukan warga kota dengan urusan seharian, beta mendapati masih lagi kukuh sebati nilai nilai murni peradaban, tolenransi dan kemesraan yang merentasi batas sempadan kemajmukan dan kepelbagaian.

"Maka marilah kita jadikan nilai murni tersebut sebagai asas dan kekuatan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang maju dan disegani. Hentikan segala pertikaian, jauhi perbalahan dan hindari permusuhan," titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023, di Istana Negara.

Istiadat tersebut merupakan yang terakhir disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 mulai 31 Januari 2019.

"Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta sempurnakan sebagai Yang di-Pertuan Agong," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan Sultan Pahang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tarikh berkenaan, setelah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019 bagi tempoh lima tahun.

Media Baharu