fb fb fb fb fb

PBT di Melaka komited selesaikan segala isu berkaitan rakyat

(Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman)

AYER KEROH, 1 Februari - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka komited untuk menyelesaikan segala isu berkaitan rakyat termasuk menyelesaikan aduan yang diterima, membela nasib penjaja dan penjagaan kebersihan dan pengindahan di kawasan masing-masing.

Ia selaras dengan saranan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata beliau akan memperincikan dan mengenal pasti perkara terbabit sebelum tindakan diambil.

"Insya-Allah kami akan cuba laksanakan seperti mana hasrat Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kalau kita lihat tadi antara isu yang dibangkitkan Ketua Menteri adalah masalah penjaja, masalah kebersihan bandar dan juga aduan-aduan masyarakat yang harus kita bagi tumpuan dan juga kebersihan ini adalah untuk kita sama-sama menyambut Tahun Melawat Melaka Tahun 2024, Insya-Allah kita akan laksanakan nanti," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Ahli-ahli Majlis PBT Negeri Melaka di hadapan Ketua Menteri dan Barisan Exco Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini.


(Foto fail)

Dalam pada itu, aspek menaik taraf dan penambahbaikan produk pelancongan di bawah kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi fokus Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron.

"Seperti yang kita maklum tahun 2024 adalah Tahun Melawat Melaka dan saya akan pastikan bahawa kawasan-kawasan MPHTJ berada dalam keadaan yang bersih ceria, landskap cantik macam Ketua Menteri maklum pada saya tadi, perlu buat landskap yang cantik semula, selepas itu dengan zoo yang ada, saya tadi sebelum angkat sumpah saya ada melawat zoo tadi sekejap, ada kerja-kerja sedang dibuat di dalam zoo, jadi salah satu fokus kita adalah untuk tarikan pelancong adalah zoo dan taman burung kita, taman burung ada perancangan terbaharu," ujar Sapiah.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Sulaiman mengarahkan Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mempertingkatkan sistem pentadbiran di peringkat kerajaan tempatan yang lebih komprehensif bagi memacu pembangunan negeri Melaka yang lebih mampan.

Katanya, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang selain peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin terhadap permasalahan masyarakat setempat serta mengambil tahu isu-isu tempatan, nasional mahu pun di peringkat global.

Media Baharu