fb fb fb fb fb

Jaminan sekuriti makanan di Negeri Sembilan antara usul dikemuka pada Majlis Dialog Belanjawan 2023

SEREMBAN, 1 Februari - Jaminan sekuriti makanan di Negeri Sembilan antara usul yang dikemukakan oleh kerajaan negeri dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023 bersama Kementerian Kewangan peringkat Negeri Sembilan, di sini, pagi tadi.

Usul berkenaan mendapat cadangan balas daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan komitmen kerajaan pusat untuk membangunkan tanah terbiar sebagai kawasan pertanian.

"Kita menjawab balas bahawa kerajaan pusat ingin mencari tanah kosong terbiar yang GLC di bawah Kementerian Kewangan boleh menyewa atau memajak tanah itu bagi mewujudkan pertanian moden bagi menghadapi dan memastikan sekuriti makanan terjamin," jelas beliau.

Pada sesi berkenaan lebih 20 cadangan dibentangkan oleh pengkhususan kumpulan fokus di Negeri Sembilan antaranya adalah pembayaran premium tanah daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri, peruntukan penyelenggaraan bangunan, empangan dan jalan persekutuan.


(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ditemu bual media selepas Majlis Dialog 
 Belanjawan 2023 bersama Kementerian Kewangan peringkat Negeri Sembilan di Seremban)

Turut dicadangkan pembangunan generasi kedua Felda, kenaikan kos tarif elektrik kepada industri dan isu berkaitan infrustruktur, teknologi serta pelaburan berkualiti tinggi.

Majlis dialog bertemakan “Membangun Malaysia Madani” itu merupakan platform maklum balas kerajaan negeri yang akan dibawa kepada Mesyuarat Kewangan Negara yang akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan sebelum pembentangan bajet yang dijadualkan pada 24 Februari ini.

Negeri Sembilan merupakan lokasi kedua selepas ia diadakan di Selangor dan akan turut dilaksanakan di Pulau Pinang, Johor serta Perak.

Media Baharu