TANJUNG MALIM, 6 Julai – Perpaduan dan kesepaduan dalam kalangan warga kampus disifatkan sebagai asas utama kejayaan sesebuah institusi pendidikan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan kekuatan sebenar institusi pendidikan tidak hanya terletak pada pencapaian akademik atau kemudahan fizikal, sebaliknya bergantung kepada semangat kolektif dan kepercayaan bersama yang digembleng secara berpasukan.
“Tiada kejayaan yang dapat bertahan lama tanpa perpaduan. Dunia akademik seharusnya menjadi medan intelektual yang subur, bukan pentas persengketaan,”ujarnya ketika menyampaikan amanat penutup Program Karisma Pemikir MADANI bersama kepimpinan tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Selasa lalu.
Program yang menghimpunkan lebih 100 peserta itu disertai oleh ahli Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pentadbir, serta ketua fakulti dan jabatan UPSI.
Mengulas lanjut, Zambry turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya toksik dan perpecahan dalaman di kampus yang boleh melemahkan sesebuah institusi.
“Kita tidak mampu membiarkan racun ini meresap ke dalam akar sistem pentadbiran dan akademik. Dunia akademik harus menjadi medan intelektual yang subur, bukan pentas persengketaan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada UPSI atas kesungguhan institusi itu dalam memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pendidikan negara dan pencetus perubahan dalam landskap pendidikan tinggi.
“Saya yakin dengan iltizam yang ditunjukkan, UPSI mampu muncul sebagai peneraju pendidikan negara dan pencetus perubahan dalam landskap pendidikan tinggi yang berdaya saing dan tahan uji.”
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku 'Isu dan Krisis Universiti' terbitan Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, yang mengupas isu tadbir urus, komunikasi strategik dan pengurusan krisis di universiti secara ilmiah dan berwibawa.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menyifatkan program tersebut sebagai ruang refleksi yang penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap aspirasi kerajaan MADANI dan menyatukan hala tuju universiti dalam mendepani cabaran pendidikan era baharu.
“Penekanan kepada perpaduan dan arah strategik yang jelas amat relevan bagi UPSI dalam mendepani cabaran pasca-pandemik dan Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.
Program Karisma Pemikir MADANI merupakan hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Kementerian Pendidikan Tinggi dan UPSI dalam usaha memperkasakan nilai kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan kepimpinan institusi pendidikan tinggi negara.