KUALA LUMPUR, 6 Julai – Pemilik lesen motosikal di bawah program MyLesen B2 boleh dikenakan tindakan penarikan semula lesen sekiranya melanggar undang-undang jalan raya atau terlibat dalam aktiviti lumba haram.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, pihaknya kini sedang meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan langkah berkenaan.
"Program MyLesen ini adalah program kerajaan yang mana subsidi diberi kepada peserta.
"Jadi mana-mana yang melakukan kesalahan atau menyertai aktiviti-aktiviti haram seperti lumba haram dan sebagainya kita akan menarik balik lesen tersebut," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Seramai 915 peserta yang menamatkan latihan dan ujian berjaya menerima lesen motosikal.
Daripada jumlah itu seramai 762 peserta adalah pelajar sekolah menengah
MyLesen B2 merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 memperoleh lesen motosikal, khususnya untuk ke sekolah atau bekerja.