fb fb fb fb fb

Perolehan meriam artileri masih dalam proses rundingan - Hishamuddin

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) bagi kegunaan tentera darat masih dalam proses rundingan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata belum ada sebarang anugerah kontrak diberi kepada mana-mana pihak malah rundingan mengenainya masih lagi berjalan antara MINDEF dengan Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa tender SPH yang bernilai RM854 juta itu diberi kepada syarikat yang baharu sahaja ditubuhkan.

(Self Propelled Howitzer (SPH) / FOTO HIASAN)

"Pendedahan yang keluar ini mungkin cubaan hendak timbulkan kekeruhan atau keraguan, tapi saya boleh nyatakan di sini bahawa SPH ini belum kita anugerah lagi.

"Selagi anugerahnya belum ditentukan saya rasa apa yang hendak dihebahkan, sesuatu yang belum lagi diberi. Saya minta semua rasional dan benarkan proses kita berjalan seperti biasa," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Kem Sungai Besi, di sini.

Tambah Hishamuddin, sebelum ini dokumen di antara kementerian dan agensi terlibat adalah rahsia dan tidak patut disebarkan kepada pihak umum.

Namun apa yang lebih menjadi kebimbangannya kini apabila maklumat-maklumat rahsia yang berkait dengan perkara atau peralatan disebarkan dan ia boleh menjejaskan kesiapsiagaan negara.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baharu dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

Media Baharu