fb fb fb fb fb

APM bersiap siaga hadapi sebarang kemungkinan bencana

AYER KEROH, 5 Oktober- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) yang hangat diperkatakan ketika ini.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr. Norhafifi Ismail, pegawai dan anggotanya akan disusun gerak bagi memastikan kedua-dua tugasan berjalan lancar.

"Kita telah pun menyusun atur strategi untuk melancarkankan pelaksanaan kedua-dua tugas ini. Dalam situasi COVID-19 dulu jugam kita uruskan mangsa banjir, kiranya bencana dalam bencana lah kan.

Oleh kerana pengalaman kita dan koordinasi kita bersama seluruh agensi berkaitan, kita dapat laksanakan tugas dengan lancar dan mudah," kata Dr. Norhafifi kepada RTM hari ini selepas perjumpaan bersama warga APM Melaka, di sini.

APM ketika ini bersiap siaga dengan kekuatan lebih 10,500 pegawai dan anggota di peringkat nasional.

Dari sudut logistik, sebanyak 481 logistik darat, 759 logistik air, lebih 64,000 khemah dan 144 genset sedia digunakan untuk menghadapi bencana.


(Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr. Norhafifi Ismail ditemui media pada
majlis perjumpaan warga APM di Ayer Keroh)

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 10 peratus orang awam di negara ini disasar mempunyai asas latihan menyelamat jika berlaku sebarang bencana.

Dr. Norhafifi Ismail berkata ia bagi memastikan proses menyelamat lebih pantas dan lancar.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dengan penubuhan Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di peringkat komuniti yang telah melatih lebih 1.7 juta orang awam.

Latihan asas membolehkan mereka yang terlibat bencana tahu langkah perlu diambil untuk menyelamat nyawa dan harta benda tanpa hanya menunggu untuk diselamatkan pihak berkuasa.

“Sebenarnya kesedaran awal ini perlu diberikan kepada mereka supaya mereka dapat bersama-sama dalam memberikan bantuan sekiranya diperlukan. Jika paras air dah mula naik, mereka tidak perlu tunggu anggota keselamatan sebaliknya dengan semangat kejiranan dan ilmu asas banjir yang kita bagi ini, kita dapat bertindak awal dan mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," tambahnya.

Orang awam turut dinasihatkan sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut termasuk menyediakan beg kecemasan bencana.

Media Baharu