
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Malaysia Aviation Group (MAG), melalui syarikat penerbangannya Malaysia Airlines dan Firefly, akan mengendalikan lebih 2,700 penerbangan domestik sempena musim puncak perjalanan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
- MAG menambah jadual penerbangan untuk memudahkan rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan.
- Malaysia Airlines menaik taraf pesawat dan mengendalikan penerbangan lewat malam bagi laluan bertrafik tinggi.
- Kedua-dua syarikat menawarkan tambang tetap dan had maksimum untuk laluan terpilih ke Malaysia Timur.
MAG dalam satu kenyataan memaklumkan, penambahan penerbangan itu bagi memudahkan rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman masing masing.
“Malaysia Airlines dijadual mengoperasikan sehingga 1,557 penerbangan, manakala Firefly menyediakan sehingga 1,176 perkhidmatan yang menghubungkan destinasi utama di Semenanjung Malaysia serta Malaysia timur.
“Penambahan jadual ini bertujuan memberi lebih fleksibiliti dan pilihan kepada penumpang untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan,” menurut kenyataan MAG.
Jelas kenyataan itu lagi Malaysia Airlines akan menaik taraf pesawat bagi laluan bertrafik tinggi bagi memenuhi permintaan tinggi, termasuk Alor Setar, Kota Bharu, Terengganu, Miri, Sibu, Kuching, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Syarikat penerbangan itu juga akan mengendalikan penerbangan lewat malam (red-eye) ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Kuching bagi membolehkan penumpang memanfaatkan masa perjalanan dengan lebih optimum.
Sebagai pelengkap kepada penerbangan tambahan ini, kedua-dua syarikat penerbangan turut menawarkan tambang tetap sehala semua termasuk (all-in) bagi laluan utama ke Malaysia Timur.
Malaysia Airlines menawarkan tambang bermula RM339 ke Sarawak dan RM399 ke Sabah bagi penerbangan terpilih, manakala Firefly menawarkan tambang bermula RM298 ke Sarawak dan RM348 ke Sabah.
Tambang ini boleh dibeli mulai sekarang sehingga 29 Mac 2026 untuk perjalanan antara 17 Mac hingga 29 Mac 2026, dan hanya ditawarkan menerusi laman web rasmi serta aplikasi mudah alih syarikat penerbangan berkenaan.
Sebagai sokongan kepada inisiatif perjalanan perayaan oleh kerajaan, kedua-dua syarikat penerbangan juga akan mengehadkan tambang bagi laluan terpilih ke Malaysia Timur, dengan Malaysia Airlines menawarkan tambang maksimum sehala semua termasuk sehingga RM569, manakala Firefly sehingga RM548, bagi perjalanan antara 17 Mac hingga 20 Mac 2026.
MAG kekal komited untuk menghubungkan rakyat dan destinasi di seluruh negara sepanjang tempoh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus membolehkan pertemuan semula keluarga yang bermakna serta pengalaman perjalanan yang lebih bermakna buat para penumpang sepanjang musim perayaan ini.