fb fb fb fb fb

Perodua, Tourism Malaysia jalin kerjasama tiga tahun promosi pelancongan

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Ammar Ab Ghapar (ke-2, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (ke-2, kanan) menyaksikan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah (kiri) dan pengarah sokongan korporat 1, Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Noor Zakiyah Hasan bertukar dokumen selepas menandatangani memorandum kerjasama di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic)/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 November - Tourism Malaysia memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selama tiga tahun bermula tahun depan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Amar Abd Ghapar berkata perjanjian hingga tahun 2026 itu bertujuan mempromosikan sektor pelancongan di negara ini.

"Dengan gabungan kekuatan Perodua dan Tourism Malaysia, kami bukan sahaja menyasar untuk menambah jumlah pelancong malah akan memberikan statistik keseluruhan.

"Kami mahu setiap pengunjung meninggalkan Malaysia dengan perasaan kepercayaan yang mendalam dan keinginan untuk kembali," katanya ketika berucap pada majlis menandangani MoC itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) di sini hari ini.

Amar berkata kerjasama itu membabitkan pelbagai inisiatif dan strategi bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama .

"Kami menyasarkan untuk mencapai beberapa objektif penting seperti Meningkatkan Kebolehcapaian, Pelancongan Lestari, Pertukaran Budaya, Pemasaran Digital dan Pengalaman Pelanggan," katanya.

Ammar berkata tugas mempromosi sektor pelancongan bukan hanya dilakukan oleh Tourism Malaysia sebaliknya ia harus menjadi tanggungjawab pelbagai pihak atau pihak yang berkepentingan menerusi Perkongsian Awam-Swasta.

Tourism Malaysia dan Perodua akan bersama-sama terbabit dalam program pertukaran budaya yang akan membolehkan pelancongan menyelami kepelbagaian adat dan tradisi di negara ini.

Beliau turut berkongsi bahawa terdapat pakej bermusim yang akan dipilih termasuk penyewaan kereta Perodua bagi mempromosi pelancongan domestik dan produk buatan Malaysia.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata kerjasama itu memanfaatkan kedua-dua entiti kerana ia mempromosikan pelancongan Malaysia dan produk Perodua kepada pengembara antarabangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN