fb fb fb fb fb

Maritim patahkan cubaan seludup masuk 413 PATI melalui Selat Melaka

PELABUHAN KLANG, 28 November - Sebanyak 51 kes cubaan menyeludup masuk 413 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini sejak Januari hingga pertengahan bulan ini, dedah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim R Vincent berkata kejayaan itu hasil rondaan dan operasi secara berterusan dari APMM.

"Dengan tindakan pantas dan kesiapsiagaan agensi (APMM) berjaya menumpaskan pelbagai aktiviti jenayah yang cuba dilakukan melalui perairan negara.

"Ini termasuk rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan Pati atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di atas Kapal KM Pekan di perairan Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Katanya, dengan pelaksanaan itu menujukkan iltizam APMM dalam memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim.

Dalam pada itu, APMM turut melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bertujuan mengukur keupayaan aset dalam melakukan tugasan yang diberikan bermula 26 November lalu.

"Eksesais ini akan berakhir di Pulau Langkawi pada 3 Disember nanti yang membabitkan kira-kira 500 pegawai dan anggota," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN