KOTA BAHRU, 28 November - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas di sebuah tali air di Kampung Derdap, di sini, petang tadi.
Mangsa, Mohd Rifki Asyraf Mohd Reduan dikatakan mandi berseorangan di tali air itu sebelum lemas.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Yazulia Yahya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.25 petang.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota dari BBP Pasir Tumboh dan Pengkalan Chepa terlibat dalam operasi menyelamat.
"Kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan secara resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebaik pasukan mencari menjumpainya di kawasan terbabit.Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan kesihatan pada pukul 7 malam tadi," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, mayat kemudian diserah ke unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.