PUTRAJAYA, 1 Julai- Permohonan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) asing melonjak kepada 23,649 bagi tempoh antara 28 Mei hingga 29 Jun tahun ini.
Ia sekali gus melebihi jumlah keseluruhan pada tahun lepas iaitu 15,424 permohonan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tempoh sama sebanyak 6,120 tag VEP dikeluarkan kepada pemohon manakala 1,080 tag VEP diaktifkan.
"Penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag VEP dengan memuat naik gambar nombor pendaftaran kenderaan selepas menerima tag VEP tersebut."
"Tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan. Maka, ini juga satu peringatan kepada semua pemilik kenderaan Singapura khususnya, supaya aktifkan VEP mereka," kata Anthony kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, penurunan kadar fi percetakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di Semenanjung berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga tersebut akan diturunkan daripada RM50 kepada RM20.
Katanya, bayaran VOC di Sabah juga akan diturunkan dari RM25 kepada RM20 manakala kadar fi RM5 di Sarawak dikekalkan.
"Penyelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan antara kadar fi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Jadi, ini satu berita penurunan harga, bukan semua harga naik, ada juga harga turun," tambah Anthony.