KUALA LUMPUR, 13 Mei- Permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan jemaah haji hanya akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perkara tersebut.
"Kita memang terima jawapan pada saat akhir, kalau ikut trend tahun-tahun lepas memang ada.
"Cuma tahun ini kita pun tidak berapa tahu berapa banyak dan tidak pasti lagi apa polisi yang kerajaan Arab Saudi gunakan.
"Sekiranya (Arab Saudi) tidak mahu jemaah yang ramai pada musim ini, seperti berlaku ketika COVID-19, mungkin tiada pertambahan kuota," kata Mohd Na’im.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Ibu negara.
Menurut Mohd Naim, pertambahan kuota itu mungkin boleh berlaku namun ia bergantung kepada polisi yang akan diperkenalkan.
Terdahulu, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota rasmi bagi jemaah Malaysia ialah seramai 31,600 jemaah.
Justeru, Malaysia memohon 10,000 lagi kuota tambahan daripada Arab Saudi.