POKOK MANGGA, 13 Mei – Kerajaan Negeri Melaka memohon penambahan sebanyak 10 lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sepanjang tahun ini dalam usaha memperluas akses digital dan penyampaian maklumat kepada masyarakat setempat.
Menurut Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan, permohonan tersebut dibuat susulan sambutan positif daripada wakil-wakil rakyat yang menunjukkan minat untuk menambah pusat NADI di kawasan masing-masing.
“Sehingga kini, terdapat sebanyak 39 buah NADI di seluruh negeri, dengan kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai satu atau dua pusat,” katanya demikian
selepas menghadiri Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Padang di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat-syarikat telekomunikasi dapat memberi pertimbangan kepada permintaan kerajaan negeri itu bagi menambah pusat NADI baharu.
“Jadi saya berharap kepada MCMC dan juga rakan-rakan telco di Negeri Melaka agar mempertimbangkan permohonan untuk 10 NADI baharu. Selepas kita war-warkan peranan pusat ini, semua wakil rakyat menyatakan minat untuk menambah NADI di kawasan masing-masing,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, yang menyempurnakan majlis perasmian tersebut.
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berfungsi sebagai pusat capaian teknologi digital dan informasi yang disediakan untuk komuniti setempat bagi merapatkan jurang digital dan meningkatkan celik ICT, khususnya di kawasan luar bandar.