fb fb fb fb fb

KTMB tegas kekalkan nama sebagai lambang warisan dan identiti sejarah

Foto fail

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menukar nama syarikat tersebut, meskipun terdapat cadangan daripada beberapa pihak agar nama baharu dipertimbangkan.

Dalam satu kenyataan KTMB berkata, nama syarikat tersebut membawa nilai warisan yang penting dan menggambarkan identiti sejarah negara.

"Mengekalkan nama ini bukan sahaja satu penghormatan terhadap warisan dan perjuangan masa lalu, malah menjadi simbol kesinambungan serta kebanggaan nasional," kata KTMB menerusi kenyataan itu.

Pengekalan nama itu membawa kekuatan jenama yang sudah dikenali ramai, termasuk di peringkat serantau. Pihaknya tidak melihat nama tersebut sebagai sesuatu yang lapuk atau ketinggalan zaman.

Sementara itu, KTMB berkata tumpuannya kekal kepada memudahkan mobiliti dan pembangunan negara sambil menghormati identiti sejarahnya.

"Pendekatan ini membolehkan KTMB bergerak maju tanpa memutuskan hubungan dengan warisan yang membina kekuatan jenama ini. Jadi,perubahan dan kemajuan tetap wajar diteruskan, tetapi dalam kerangka yang menghormati dan memelihara legasi yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti nasional" katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan terdapat cadangan supaya nama Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar kepada nama baharu yang lebih moden.

TETITIA YUSOFF