fb fb fb fb fb

Dewan Negara: Senator diseru main peranan perkasa libat urus ekonomi serantau dan global

Senator Shahrol Wizan Sulong (kiri) dan Senator Norhasmimi Abdul Ghani (kanan) bergambar bersama-sama Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (tengah) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ahli Dewan Negara disaran memainkan peranan aktif dalam memperkasa hubungan dengan blok ekonomi serantau dan antarabangsa.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata usaha itu penting dalam memperkukuh dasar negara, khususnya dalam menangani impak isu global seperti tarif.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara diseru supaya memperluaskan libat urus melangkaui lingkungan negara-negara ASEAN.

“Kita juga mesti menjalin hubungan, bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN, tetapi turut melibatkan blok-blok serantau lain di kawasan kita seperti BRICS dan GCC.

"Ini penting agar kita dapat mencapai visi untuk menjadikan ASEAN sebagai satu entiti yang dikenali sebagai Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community).

"Inilah antara cara untuk kita menangani isu tarif yang sedang dihadapi hari ini", katanya demikian pada upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam majlis itu, dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan iaitu Senator Norhasmimi Abdul Ghani dan Senator Shahrol Wizan Sulong.

Kedua-duanya merupakan lantikan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Lantikan Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang dan Ketua Umum Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli Pahang itu berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 12 Mei 2028.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD