fb fb fb fb fb

Permohonan RMR, had pendapatan dinaikkan kepada RM5,000

PUTRAJAYA, 13 April- Golongan isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 kini layak memohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata program RMR itu sebelum ini hanya dibuka untuk mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sahaja.

Ia merupakan salah satu daripada enam inisiatif baharu menerusi program RMR yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memohon.

Antara inisiatif lain termasuklah kemudahan permohonan secara dalam talian, rumah mendapat pengiktirafan sistem piawaian SIRIM dan kepelbagaian pilihan reka bentuk rumah.

"SPNB pada tahun ini telah mengguna pakai sistem modul pembinaan baharu. Saya dapati pembinaan rumah dapat disiapkan dalam masa yang singkat iaitu hanya dalam tempoh 25 hari. Dalam tempoh itu, kita boleh siapkan satu unit rumah dalam masa tiga minggu sahaja.

Jadi, sasaran kita 25 sehingga 60 hari menggunakan modul sistem baharu, IBS untuk mencapai rekod itu," kata Nga ditemui media selepas menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah kepada 40 penerima Program RMR bagi negeri Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan, di sini.


(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditemui pemberita pada
majlis penyerahan surat tawaran dan kunci rumah Program RMR di Putrajaya)

Beliau menyasarkan tiada projek sakit dan terbengkalai akan berlaku tahun ini menerusi pengenalan inisiatif baharu di bawah program RMR.

Lebih 56,000 unit RMR sudah dibina di seluruh negara sehingga Mac lalu sejak program tersebut diperkenal pada tahun 2002.

Untuk tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM358 juta bagi membina 4,250 unit RMR.

Media Baharu