fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tumpaskan cubaan seludup rokok kretek

LINGGI, 13 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan menyeludup 4.8 juta batang rokok jenis kretek, kira-kira pukul 11.00 malam pada Selasa lalu.

Menerusi Ops Pagar Laut, rampasan dibuat di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata rampasan tersebut hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).

"Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot pancung dan enam enjin jenis Yamaha berjumlah RM3.53 juta.

"Maritim Malaysia akan memperketatkan lagi kawalan di perairan negara bagi membanteras aktiviti-aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Kami juga tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman jenayah yang dilakukan di kawasan maritim negara.

"Rondaan lebih kerap di kawasan hotspot akan dilakukan terutamanya di musim Aidilfitri ini.

"Rokok berkenaan diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di pasaran semenanjung," katanya kepada pemberita di sini.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke dalam negara melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais. 


(Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot pancung dan enam enjin jenis
Yamaha berjumlah RM3.53 juta)

Media Baharu