SINTOK, 6 Mei – Permohonan pelajar antarabangsa bagi menyambung pendidikan tinggi di Malaysia meningkat 26 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah permohonan yang diterima sepanjang 2023 mencecah 65,207 pelajar berbanding 48,428 pada 2022 dan memberi petanda positif terhadap kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global.
Menurut Pengurus Kanan Rantau Asia Tenggara, Education Malaysia Global Services (EMGS), Megat Mohd Samsul Megat Ismail, permohonan pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di universiti tempatan menunjukkan peningkatan sejak tahun 2020 dengan 28,985 permohonan ketika itu.
“Angka tersebut kemudian meningkat 32 peratus pada 2021 (38,291) menunjukkan Malaysia menawarkan kualiti pendidikan tinggi yang baik kepada pelajar antarabangsa. Selain itu, banyak universiti tempatan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lain-lain yang mempunyai kedudukan baik di dalam ranking universiti dunia. Bukan sahaja universiti, tetapi program-program yang ditawarkan turut disenarai di dalam program terbaik di peringkat dunia.
“Universiti awam dan swasta disaran menjalin lebih banyak kerjasama strategik dengan universiti luar bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian tinggi mereka di negara ini. Kerjasama strategik yang dimeterai oleh UUM dan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag) misalnya, bukan hanya menyaksikan penghantaran 43 mahasiswa yang menerima biasiswa Kemenag ke UUM tetapi membuka ruang kepada perluasan bidang kerjasama merangkumi penganjuran persidangan, penyelidikan dan penerbitan bersama,” jelas Megat Mohd Samsul.
Bagi permohonan dari rantau Asia Tenggara, pelajar Indonesia berada di kedudukan pertama dengan 4,309 pelajar, diikuti pelajar Myanmar dan ketiga adalah pelajar Vietnam yang membuat permohonan bagi menyambung pengajian di Malaysia.
Malaysia menjadi destinasi utama bagi pelajar Indonesia disebabkan beberapa faktor seperti lokasi yang strategik, persamaan budaya dan kualiti program-program yang ditawarkan oleh universiti di negara ini.
“Dari segi pengangkutan, penerbangan dari Medan, Indonesia ke Pulau Pinang hanya mengambil masa 45 minit dan perkhidmatan pesawat ada setiap hari. Dari Jakarta ke Kuala Lumpur pula, terdapat lebih 20 penerbangan yang menghubungkan kedua-dua negara. Faktor ini menjadi satu tarikan kepada pelajar dari Indonesia menyambung pendidikan tinggi mereka di Malaysia,” katanya lagi.
Katanya, EMGS selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempunyai kepakaran untuk membantu universiti tempatan memperluaskan kerjasama dengan rakan-rakan strategik antarabangsa.
EMGS mempunyai 4 fungsi utama iaitu memproses permohonan visa pelajar antarabangsa, menyokong institusi pendidikan di bawah KPT, meningkatkan keterlibatan dengan pembuat dasar, pihak kedutaan dan pemegang taruh di dalam sektor pendidikan tinggi serta menggalakkan usaha mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi global.
Malaysia mempunyai 20 universiti awam yang mempunyai permit untuk mengambil pelajar asing selain terdapat 10 kampus universiti antarabangsa dan 217 institusi pendidikan tinggi lain yang boleh menerima pelajar antarabangsa.
Inisiatif lain yang dilaksanakan oleh EMGS adalah menyediakan laluan khas imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dan menyediakan kaunter khas EMGS di lapangan terbang.
Malaysia menjadi satu-satunya negara setakat ini yang menyediakan laluan khas kepada pelajar antarabangsa untuk mempercepatkan urusan imigresen di pintu masuk negara.