fb fb fb fb fb

CMRU cari rakan kongsi strategik perluas kajian berkaitan teknologi media

Ketua CMRU, Profesor Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata CMRU mahu menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha memperkasa komuniti ke arah mencapai gaya hidup positif melalui penggunaan teknologi media agar ia memberi lebih banyak manfaat berbanding kesan negatif /Foto UUM

SINTOK, 2 Mei – Civic Media Research Unit (CMRU) mengajak pihak berminat untuk menjalin kerjasama strategik di dalam pelbagai bidang dan aspek berkaitan teknologi media, pendigitalan dan tamadun.

Ketua CMRU, Profesor Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, bidang tersebut merangkumi penyelidikan, penerbitan, latihan, pembangunan kandungan media sosial dan program khidmat masyarakat yang bermatlamat membantu memperkasa penggunaan teknologi media dalam kalangan rakyat.

“Revolusi Internet dan media sosial merupakan satu inovasi yang memberi impak besar kepada kehidupan hari ini, termasuk juga kesan negatif yang dibawa oleh teknologi media. Bagi mengimbangi situasi ini, tamadun media juga perlu ditingkatkan supaya penggunaan teknologi media lebih berhemah dan memberi banyak manfaat kepada pengguna berbanding kesan negatif kepada masyarakat.

“Bagi tujuan itu, CMRU mahu mencari rakan strategik yang berminat untuk sama-sama melakukan penyelidikan dan pelbagai aktiviti termasuklah khidmat masyarakat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan teknologi media ini,” jelas Dr. Norsiah.

CMRU yang ditubuhkan pada 2016 di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), bermatlamat meningkatkan perkongsian nilai, sistem sokongan dan kebersamaan bagi membina tamadun celik media serta teknologi.

Menurut Dr. Norsiah, ia boleh dicapai menerusi jalinan kerjasama melibatkan kerajaan, universiti, industri, komuniti global dan ekosistem itu sendiri di dalam bidang penyelidikan dan program berkaitan yang lain.

“Penyelidikan sangat penting bagi memahami bagaimana orang ramai menggunakan teknologi media setiap hari dan memanfaatkan kandungan-kandungannya serta membolehkan penyelidik melihat corak, kecenderungan dan tingkah laku pengguna. Menerusi kajian sebegitu, penyelidik dapat lebih memahami tingkah laku pengguna terhadap sesuatu kandungan selain penggunaan teknologi media sama ada ia membawa manfaat kepada komuniti atau tidak.

“Salah satu teknologi yang diberi perhatian ketika ini adalah Kecerdasan Buatan atau Artifical Intelligence (AI) yang menyaksikan banyak negara mula menggubal undang-undang untuk mengawal perkembangan teknologi tersebut. Undang-undang berkenaan perlu disokong oleh kawalan kendiri dalam kalangan pengguna bagi memastikan ia berkesan menangani kesan negatif teknologi. Untuk mewujudkan kesedaran kendiri dan meningkatkan daya tahan ini, komuniti terutama pengguna teknologi media memerlukan panduan supaya apa sahaja teknologi memberi manfaat yang besar kepada komuniti,” jelas Dr. Norsiah lagi.

CMRU menurutnya, memberi tumpuan kepada bidang seperti periklanan dan penyiaran digital, kewartawanan multimedia dan digital, kajian media baharu, filem, pengurusan media dan aspek-aspek berkaitan teknologi media yang meluas digunakan di dalam komuniti.

Menerusi kerjasama penyelidikan dan perkongsian ilmu, CMRU berharap dapat membangunkan gaya hidup positif melalui pendedahan kepada teknologi media, menyokong penglibatan dan usaha pemerkasaan komuniti serta meningkatkan keterlibatan di dalam bidang berkaitan media di peringkat akar umbi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD