fb fb fb fb fb

Pam bergerak dipasang di RTB Jitra Selatan kurangkan risiko banjir

Operasi pemasangan pam bergerak Hydraulic Submersible 10 Cuses (280 l/s) / JPS Kedah

JITRA, 26 November -Dua unit pam bergerak dipasang di pintu air Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Jitra Selatan, Kubang Pasu bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto berkata, pemasangan pam Hydraulic Submersible 10 Cuses (280 l/s) itu dilakukan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME).

"Pemasangan pam ini sebagai langkah awal kerana lokasi tersebut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

Ia juga sebahagian kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Daerah Kubang Pasu," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, BPME JPS Kedah sentiasa bersedia membekalkan aset bagi mengurangkan risiko banjir di lokasi-lokasi seluruh negeri.

Ketika ini, beberapa sungai utama di Kedah termasuk di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena mencatat limpahan air yang tinggi, sekali gus menyebabkan kawasan berhampiran dilanda banjir.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN