fb fb fb fb fb

Surat makluman SARA sahih, nafi tuduhan tidak berasas

Kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM)/RTM

KUALA LUMPUR, 26 November β€” Surat makluman yang diterima oleh penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah dokumen rasmi dan sah, sekali gus menolak dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial berhubung kesahihan surat berkenaan.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), penghantaran surat makluman SARA sedang dilaksanakan secara berperingkat kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara.

Langkah itu bertujuan memastikan setiap penerima dimaklumkan mengenai kelayakan bantuan yang disalurkan melalui inisiatif Kerajaan MADANI.

β€œIni adalah usaha kerajaan untuk memastikan mereka yang benar-benar layak dapat menikmati manfaat SARA, yang bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM5 bilion disediakan bagi memastikan bantuan SARA mencapai kumpulan sasar secara menyeluruh.

Penghantaran surat makluman tersebut merupakan sebahagian daripada mekanisme rasmi bagi memastikan tiada penerima tercicir daripada bantuan berkenaan.

Selain itu, kerajaan terus komited untuk menambah baik pelaksanaan program SARA, termasuk peluasan kategori barangan layak serta penyertaan lebih banyak kedai dan pasar raya dalam program tersebut.

Rakyat juga dinasihatkan agar merujuk kepada saluran rasmi kerajaan dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan atau berunsur fitnah, khususnya yang disebarkan melalui media sosial.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ