fb fb fb fb fb

Permohonan masuk TVET bermula 30 Oktober

(Foto BERNAMA)

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Permohonan memasuki institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh dibuat menerusi portal UPTVET bermula 30 Oktober ini.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, portal itu bagi memudahkan penyelarasan.

"UPTVET telah dibangunkan untuk melakukan penyelarasan permohonan memasuki 1,334 TVET di seluruh negara.

"UPTVET ini akan dibangunkan bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET, berdasarkan kursus TVET yang diminati peserta serta institusi TVET yang menjadi pilihan mereka.

"Ini bagi mengelakkan pertindihan yang berlaku daripada permohonan itu dan juga kita lihat daripada segi minat mereka, agar tidak berlaku ketidakpadanan dalam kursus yang dilaksanakan," kata Ahmad Zahid ketika menyaksikan pertukaran dokumen memorandum kerjasama transformasi program TVET antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di sini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Majlis TVET Negara Bilangan 3/2023.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kursus-kursus yang ditawarkan di institusi TVET perlu berasaskan teknologi tinggi dan termasuk tenaga boleh diperbaharui.

Ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Majlis TVET Negara.

Katanya, kursus itu juga melibatkan permintaan pasaran guna tenaga terutamanya daripada pelabur asing di negara ini.

"Ini dibuat supaya pihak pelabur itu memperolehi pekerjaan mahir yang telah terlatih supaya terus dapat diserapkan ke syarikat-syarikat berkenaan dan di samping itu juga kita menterjemahkan apa yang disarankan oleh perdana menteri daripada segi bukan sahaja tenaga yang diperbaharui tetapi juga dalam pelan strategik perindustrian di mana kita menjangkakan kedua-dua bidang ini akan memberikan kira-kira 3.5 juta peluang baharu pekerjaan daripada sekarang hingga tahun 2030," kata Ahmad Zahid.

Tambahnya lagi, sekretariat  TVET negara juga telah diarah untuk menyediakan pelan hala tuju bagi menterjemah Dasar TVET negara 1.0 hingga tahun 2030, sebelum meneruskan Dasar TVET Negara 2.0 hingga tahun 2050.

Jelasnya, kebolehpasaran graduan TVET ketika ini sudah meningkat lebih 92 peratus.

Beliau berharap TVET dijadikan pilihan utama bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan mengurangkan tahap pengangguran negara.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu