KUALA LUMPUR, 15 Julai - Permohonan maaf tidak akan menyelesaikan sebarang kesalahan melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan permohonan maaf bukan satu bentuk pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.
“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang," kata Azalina menerusi hantaran di Twitter rasminya.
Azlina mengulas tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan menteri besar negeri itu baru-baru ini.
Tambah Azalina, walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) PP namun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) PP bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.
“Sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, harus sedar bahawa pertuturan kita ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama sekali dalam musim pilihan raya,” katanya.
Beliau meminta supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebebasan untuk membuat siasatan terhadap sesiapa yang membangkitkan isu kaum, agama dan raja atau 3R tanpa campur tangan mana-mana pihak.