PUTRAJAYA, 14 Mei – Permohonan bagi Insentif Konsert dan Acara (CEMI) akan dibuka bermula 15 Mei hingga 10 Julai 2025, dalam usaha merancakkan pertumbuhan industri kreatif serta menarik lebih banyak penganjuran acara bertaraf antarabangsa ke Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut dijangka memberi impak besar kepada pembangunan industri konsert dan acara tempatan, selain menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong serta menjana limpahan ekonomi kepada negara.
“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Insentif Konsert dan Acara ataupun Concerts and Events Malaysia Incentive (CEMI), iaitu program insentif penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa, akan dibuka untuk permohonan mulai 15 Mei sehingga 10 Julai 2025,” katanya dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Menurut Fahmi, inisiatif CEMI menawarkan insentif kewangan kepada penganjur acara yang memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan, termasuk skala dan kesan ekonomi acara, peningkatan kadar pelancongan, penglibatan kandungan tempatan serta pematuhan kepada garis panduan program.
Katanya, kerajaan yakin insentif itu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab acara kreatif dan hiburan serantau.