fb fb fb fb fb

Nahas FRU: Laporan siasatan siap dalam sebulan, jawatankuasa khas akan ditubuh

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 14 Mei – Laporan siasatan berhubung nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) perlu disiapkan dalam tempoh sebulan sebelum sebarang keputusan lanjut dapat diambil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Menurutnya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti aspek nahas yang tidak melibatkan unsur jenayah, termasuk aspek teknikal dan keselamatan kenderaan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa nahas FRU semalam. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk meneliti perkara-perkara yang tidak bersifat jenayah, seperti aspek kenderaan, dan akan disiasat oleh pihak MOT.

“Manakala siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan diteruskan seperti biasa. Jadi, terdapat dua siasatan dijalankan secara serentak,” katanya dalam sidang media mingguan di sini.

Fahmi turut menjelaskan laporan siasatan daripada MOT mesti dibentangkan dalam tempoh sebulan sebelum sebarang keputusan lanjut dapat dibuat oleh kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadualkan mengunjungi lima keluarga mangsa tragedi tersebut dalam masa terdekat.

Selain itu, sumbangan kecemasan sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada keluarga setiap mangsa terlibat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN