fb fb fb fb fb

HBN peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sasar 70,000 pengunjung

Pelbagai program menarik telah disusun

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 ke-61 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sasar penyertaan lebih 70,000 pengunjung khususnya golongan belia serta warga kota.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mei ini, bertempat di Lanai MATIC, Jalan Ampang.

Menurut Pengarahnya, Sabran Abd Bahar, Lebih 50 program telah disusun bagi mengiktiraf peranan belia, memperkasa penyertaan golongan muda dalam pembangunan negara, serta menyemai semangat keyakinan diri selaras dengan tema tahun ini: "Yakin Boleh".

“HBN merupakan platform untuk menghimpunkan belia pelbagai latar belakang, bukan sahaja sebagai peserta, malah sebagai penganjur bersama dalam menjayakan program berskala besar ini,” katanya dalam sesi bual bicara khas Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Tambahnya, sambutan kali ini juga turut mengangkat semula 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang diperkenalkan sejak tahun 2023, sebagai asas pembentukan sahsiah dan jati diri belia.

Beliau turut memaklumkan, lokasi strategik di pusat bandar dipilih bagi menggalakkan kehadiran pengunjung dengan menggunakan kemudahan pengangkutan awam selain menekankan elemen keterangkuman dengan penyertaan golongan OKU, warga emas dan keluarga.

Antara aktiviti yang akan berlangsung adalah seperti Ultimate Fix Challenge, Superbike Show oleh penunggang wanita, Konsert Malam Cinta Kita menampilkan artis seperti Raihan, Mimi Fly dan Radio AG, serta program Fun Run pada 18 Mei.

HBN 2025 Wilayah Persekutuan bukan sahaja dianjurkan sebagai acara tahunan, malah medan untuk merapatkan hubungan antara generasi, memupuk perpaduan dan menggalakkan keterlibatan aktif belia dalam pembangunan masyarakat.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN