SEPANG, 14 Mei - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Urbanice Malaysia melancarkan Projek Transformasi Ruang Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pelek, sebagai usaha untuk mengangkat kualiti pendidikan pelajar.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata projek itu merupakan satu inisiatif Mesra Rakyat yang diinspirasi daripada pelaksanaan ruang komuniti di kawasan perumahan rakyat (PPR), dan diperluas ke sekolah bagi membentuk ruang interaktif yang lebih inklusif.
“Ruang pertama untuk rakyat Malaysia adalah rumah, ruang kedua adalah tempat kerja atau sekolah, tetapi ruang ketiga ini penting sebagai ruang untuk anak-anak bersantai, berinteraksi dan melaksanakan program yang mereka sukai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Transformasi Ruang Sekolah di SMK Sungai Pelek, di sini.
Sebanyak lima sekolah bawah Parlimen Sepang menerima peruntukan RM20,000 setiap satu, termasuk SMK Sungai Pelek, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan fasa pertama sebanyak RM100,000.
Aiman Athirah turut memaklumkan lima lagi sekolah akan menerima manfaat yang sama tahun hadapan dan pihaknya bercadang memperluas pelaksanaan projek itu ke peringkat nasional.