SHAH ALAM, 2 September- Permintaan produk kayu-kayan di Malaysia untuk pasaran eksport meningkat sebanyak 13.8% dalam tempoh Januari hingga Jun lalu.
Pengarah Bahagian Pembangunan dan Transformasi Industri Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC), Mokhtar Mohd Yaacob berkata bertepatan dengan kehendak pasaran semasa pembangunan modal insan adalah perkara penting bagi menjamin kesinambungan industri.
Justeru, program Focus Group Dialog Wood Industrial Talk 2022 yang diadakan dilihat bertepatan matlamat tersebut.
"Rancangan Malaysia ke-12 telah menggariskan pelan ke arah negara berpendapatan tinggi dengan meningkatkan bilangan tenaga mahir berkualiti tinggi seiring dengan keperluan semasa industri.
Justeru, pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) melalui penglibatan pihak industri merupakan antara pendekatan yang proaktif selain program pensijilan yang diperakui oleh badan profesional," kata Mokhtar ketika merasmikan program berkenaan di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Tambah beliau, Program Penempatan Jurutera dan Latihan Pra-Siswazah dalam Industri Kayu-Kayan yang diperkenalkan MTC menyaksikan lebih 40 pelajar kursus teknikal dari Politeknik dan Kolej Komuniti menjalani latihan di pelbagai sektor industri berasaskan kayu.
(Pengarah Bahagian Pembangunan dan Transformasi Industri Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC), Mokhtar Mohd Yaacob )