fb fb fb fb fb

Perlu kreatif tarik minat generasi muda dekati bahasa Melayu - Raja Muda Perlis

PHUKET, 6 Ogos - Seiring dengan perkembangan dunia semasa, nafas baharu perlu diberi dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu serantau, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

"Proses pembelajaran dan pengajaran perlu ditambah nilai dengan teknik-teknik atau aktiviti yang mampu menarik minat para pelajar untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

"...sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast, dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa ini," titah baginda ketika merasmikan Program Semarak Bahasa anjuran UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Sekolah Agama Wittaya Phuket di sini, hari ini.

Justeru baginda berharap agar kerjasama antara Malaysia dan Thailand dapat diteruskan dan dipertingkat lagi pada masa hadapan dengan pelbagai idea yang lebih kreatif dan tindakan yang lebih proaktif.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bahasa Melayu perlu dilestarikan kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan agar jati diri mereka terus kukuh walau mendepani arus kemodenan.

"Sekiranya kita menghayati sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun antara Wilayah Selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia," titah baginda.

Program Ziarah Mahabbah 2020 ke Phuket yang berlangsung sejak Jumaat disertai seramai 35 delegasi daripada ahli MAIPs.

Media Baharu