fb fb fb fb fb

Perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan - Sultan Perak

IPOH, 30 Julai- Gagasan yang terkandung dalam Rancangan Buku Hijau wajar dikunjungi, disuntik nafas baharu dan dihidupkan semula.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rancangan itu adalah gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain.

Titah baginda, usaha bersungguh-sungguh dan berfokus perlu dilakukan untuk mengurangkan import, lebih-lebih lagi ketika Malaysia berada pada ambang bahaya keselamatan makanan.

"Sedarilah! duit dalam tangan tidak bermakna jika makanan berada dalam genggaman orang lain. Kita akan kebuluran jika orang tidak mahu menjual. Era makanan murah telah berakhir. Jika tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, kita akan menghadapi suasana darurat makanan," titah Sultan Nazrin.

Baginda turut bertitah, dunia kini sedang menghadapi ancaman keselamatan bekalan makanan yang semakin meruncing.

Oleh itu, baginda bertitah, langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan, dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.

Titah baginda, perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan.

Baginda bertitah, rakyat hendaklah disedarkan dan dibawa bersama, membantu menangani memenuhi keperluan bekalan makanan.

Sultan Nazrin bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak dengan tema 'Keselamatan Makanan: Penghijrahan Visi- Penghijrahan Misi' di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Ipoh.

Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan anugerah kepada pemenang pelbagai kategori, termasuk Tokoh Maal Hijrah 1444 Hijrah, usaha tani sekolah dan usaha tani masjid terbaik.


(Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada
Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak)

Media Baharu