fb fb fb fb fb

Gangguan elektrik, pengguna terjejas akan nikmati rebat

KOTA BHARU, 30 Julai- Akaun pengguna yang terjejas dan mengalami kerugian terutama peniaga berikutan gangguan elektrik di beberapa negeri Rabu lalu, akan menerima rebat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata gangguan bekalan elektrik selama dua jam 21 minit pada hari berkenaan membabitkan sejuta akaun pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, perincian mengenai kaedah dan bila pemberian rebat akan dibentangkan di Parlimen, pada 4 Ogos ini.

"Sejuta yang terjejas itu ada domestik, industri, komersial. Kalau sekiranya peniaga itu mempunyai gangguan berapa lama dia boleh menuntut rebat kepada bil elektrik itu, saya akan bentang Khamis ini di Parlimen.

Beliau ditemui media pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Takiyuddin turut memuji tindakan pantas TNB memulihkan kembali bekalan elektrik pada hari kejadian.

Katanya, gangguan berkenaan berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

(Takiyuddin Hassan)

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memaklumkan hasil kajian berhubung tragedi banjir di Baling, Kedah yang mengorbankan tiga nyawa kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos nanti.

"Kita mengetuai kajian KeTSA kemudian ada kementerian lain, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kerajaan negeri sendiri jadi kita akan gabungkan, kita buat satu laporan terperinci.

"Setakat ini dalam proses penulisan terakhir, mencari punca dan juga cadangan-cadangan untuk mengatasi," tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan, banjir di Baling pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Media Baharu