fb fb fb fb fb

Pemandu jengkaut ditemukan maut tertimbus runtuhan batu

(FOTO JBPM KEDAH)

ALOR SETAR, 30 Julai - Seorang pemandu jengkaut ditemui maut dalam kejadian tanah runtuh ketika menjalankan kerja di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang.

Menurut saksi, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nasir Awang Ali, 41 tahun sempat melompat keluar dari jengkaut tetapi gagal ke lokasi selamat setelah menyedari berlaku runtuhan batu di tapak itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.37 pagi.

(FOTO JBPM KEDAH)

Katanya, dua pasukan iaitu masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahril Musa tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Dua jentera dan satu unit EMRS, Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) terdiri dari enam pegawai dan 22 anggota dari balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan pokok Sena terlibat dalam SAR itu. Dua jengkaut digunakan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, hasil pencarian di dua sektor, mangsa ditemukan pada pukul 12.38 tengah hari.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Media Baharu