fb fb fb fb fb

Mat Kilau dianugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang

KUANTAN, 30 Julai - Pahlawan Pahang, Mat Kilau atau nama sebenarnya Allahyarham Muhammad Khatib Rasu Abdul Salam dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2022.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan diterima waris iaitu cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53.

Mohd Alhamadi berkata, anugerah itu cukup bermakna dan membangkitkan lagi semangat waris dan orang Melayu khususnya untuk meneruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.

Katanya, semasa hayatnya Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan tokoh pejuang Pahang lain termasuk Datuk Bahaman berjuang menentang Inggeris atas dasar agama.

(Mohd Alhamadi bersama Sijil Tokoh Maal Hijrah dan replika cek yang diterimanya
bagi pihak Mat Kilau)

"Anugerah ini juga dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan tokoh ini dalam menegakkan Islam di negeri ini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pemangku Raja Pahang atas pemilihan Mat Kilau sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang tahun ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Tambah Alhamadi, dia sempat bersama Mat Kilau memandangkan datuknya itu dijaga orang tuanya selama hampir 30 tahun.

"Saya juga masih ingat pesanannya supaya berzikir dan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan harian justeru amalan itu juga sentiasa diamalkan dalam perguruan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau yang diwarisi," katanya.

Pada majlis itu, Jabatan Penyiaran Negeri Pahang menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan sijil penghargaan bagi kategori jabatan.

Anugerah turut diberikan bagi kategori Sukarelawan Ummah, Batin Terbaik, Perkampungan Orang Asli Terbaik, Mubaligh Saudara Baru, Inovasi Kakitangan Kerajaan dan Swasta dan Perkhidmatan Agama.

Media Baharu