KANGAR, 12 April- Perlis mengumumkan cuti peristiwa pada 17 April ini, sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli semasa Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, hari ini.
Mohd. Shukri berkata pengisytiharan cuti khas itu adalah selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
Berangkat ke majlis berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada 17 April 2000, Tuanku Syed Sirajuddin dimahsyurkan menjadi Raja Perlis Ke-7 dan dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII bermula 13 Disember 2001.
Baginda juga merupakan Raja Perlis yang pertama dilantik selepas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis digubal pada tahun 1948.