RANTAU, 12 April- Malaysia akan menyediakan Hospital Medan di Myanmar bagi membantu mangsa gempa bumi berukuran 7.9 pada skala richter yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan secara dasar usaha penyediaan hospital tersebut bagi menyokong proses pemulihan di kawasan paling terjejas.
"Sekarang ini Myanmar dalam proses pemulihan dan mereka memerlukan pasukan perubatan, termasuk pakar ortopedik kerana ramai yang cedera. Perdana Menteri telah bersetuju secara dasar untuk kita menyediakan Hospital Medan, seperti mana kita lakukan di Turkiye sebelum ini," katanya.
Menurut beliau, kerajaan sementara Myanmar turut memohon bantuan sistem penapisan air susulan kerosakan sistem paip yang menyebabkan gangguan bekalan air bersih di kawasan terjejas.
Mohamad turut memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera, namun ada yang terkesan akibat kehilangan tempat tinggal.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar Negeri di Kampung Tanjung di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, selain kehadiran duta-duta asing termasuk dari Turkiye dan Sweden.