fb fb fb fb fb

Lebih RM17 juta bina dan naik taraf masjid di Seberang Perai

Ketibaan Anwar Ibrahim di Bukit Mertajam bagi merasmikan Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah kira-kira pukul 2.30 petang tadi/RTM

BUKIT MERTAJAM, 12 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah lebih RM17 juta bagi pembinaan semula dan penaiktarafan masjid serta surau di sekitar Seberang Perai, selaras usaha memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

Daripada jumlah itu, RM15 juta disalurkan untuk projek pembinaan semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini, manakala tiga lagi institusi menerima peruntukan berasingan bagi kerja pembaikan dan penaiktarafan.

Surau Haji Yahya di Sungai Sintok, Permatang Pauh menerima RM736,000; Masjid Jamek Jarak Atas, Tasek Gelugor menerima RM480,000; manakala Masjid Jamek Permatang Pauh menerima RM808,000 bagi projek naik taraf kemudahan jemaah.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, inisiatif pembinaan semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah disambut baik oleh kariah setempat khususnya golongan muda yang melihatnya sebagai langkah penting memperkukuh aktiviti kerohanian masyarakat.

Pengerusi masjid, Ismail Ali berkata masjid baharu tiga tingkat itu dijangka dapat menampung sehingga 1,600 jemaah, berbanding hanya 700 orang pada masa ini.

"Sebelum ini, jemaah terpaksa melimpah ke luar setiap kali sambutan Hari Raya atau program tahunan. Insya-Allah, masjid baharu ini mampu menampung sehingga 2,000 jemaah," katanya.

Bendahari masjid, Wan Muhammad Hamidullau B. Wan Abd Halim menyifatkan peruntukan itu sebagai rezeki besar buat kariah kampung yang lama menantikan kemudahan lebih selesa. "Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan besar ini," ujarnya.

Ketua Pemuda Cherok Tok Kun Bawah, Mohd Rostam Rahim pula menyifatkan pembinaan masjid itu sebagai manifestasi hasrat anak jati kampung yang akhirnya menjadi kenyataan.

"Harapan kami agar pembinaan ini berjalan lancar kerana kawasan ini sangat padat. Moga dalam tempoh dua tahun, semuanya siap sepenuhnya," katanya.

Ahli kariah, Ismail Hashim turut menyatakan rasa syukur atas pembinaan semula masjid yang disifatkan mampu menyediakan ruang ibadah lebih selesa untuk komuniti setempat.

Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027 dengan kos keseluruhan RM15 juta.

SITI AISHAH MD ISA